Sunday, 21 June 2009

H1N1: SJKC Jalan Davidson KL ditutup - Malaysiakini




Jun 21, 09 8:19pm


Satu lagi kes Influenza A (H1N1) melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Jalan Davidson di sini disahkan hari ini, menjadikan jumlah kes Influenza A (H1N1) di seluruh negara sebanyak 50 setakat ini.


Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pelajar tersebut adalah rakan sekelas kepada kes terdahulu di sekolah berkenaan iaitu di Kelas 5(I), menjadikan kes Influenza A (H1N1) di sekolah itu kepada tiga, dua daripadanya kes penularan tempatan."Kami akan memantau sekolah itu dari dekat bersama guru-guru dan PIBG," katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah tersebut di ibunegara hari ini.


Sebelum itu pelajar perempuan kelas yang sama telah disahkan menghidap penyakit itu pada jam 6.30 pagi hari ini.Menurut Liow kedua-dua pelajar perempuan berkenaan duduk berdekatan (di dalam kelas) dengan pelajar pertama sekolah itu yang mendapat jangkitan Influenza A (H1N1) selepas melawat Melbourne.


Berikutan itu Liow mengumumkan penutupan SJK (C) Jalan Davidson ditutup mulai 19 Jun (Jumaat lepas) sehingga 26 Jun minggu depan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan penyakit itu di kalangan warga sekolah.Beliau berkata sepanjang tempoh penutupan, semua murid, guru dan kakitangan sekolah itu perlu berada di rumah masing-masing dan mengelak pergaulan dengan orang awam.


Nasihat duduk di rumah"Semasa tempoh kuarantin di rumah, mereka tidak dibenarkan menghadiri kelas tuisyen (bagi murid-murid), melawat tempat awam dan pergi ke majlis keraian."Semasa berada di dalam rumah, mereka juga dinasihatkan agar mengurangkan pergaulan dengan anggota keluarga lain yang tidak dikenakan arahan kuarantin itu," kata Liow.


Katanya mereka yang dikenakan arahan kuarantin dikehendaki segera menghubungi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di talian 03-26983757 atau 019-2299397 sekiranya mereka mula merasa kurang sihat atau demam.Penutupan itu melibatkan kira-kira 2,100 orang warga sekolah berkenaan termasuk guru, pelajar dan kakitangan.


Liow berkata kementerian turut menyediakan pasukan khas dan ambulans untuk mengendalikan pesakit yang disyaki menghidap Influenza A (H1N1).


Beliau menegaskan mereka yang diarah menjalani kuarantin supaya tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai.


Liow mengingatkan sesiapa yang melanggar peraturan Akta Kawalan Penyakit boleh didakwa di mahkamah dan dikenakan denda RM10,000 atau penjara atau kedua-duanya.


"Jangan langgar peraturan ini. Jangan paksa kerajaan guna akta ini untuk dakwa sesiapa," tegasnya.


Awal hari ini, Liow mengumumkan tujuh lagi kes Influenza A (H1N1) disahkan dalam negara, tiga daripadanya melibatkan pelajar sekolah, menjadikan jumlah kes bagi penyakit itu menjangkau 49 kes.

1 comment: