Kenyataan Akhbar dari Kementerian Kesihatan Malaysia berkenaan H1N1

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
SITUASI SEMASA PANDEMIK INFLUENZA A(H1N1)
DAN TINDAKAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
22 Jun 2009

Sehingga 22 Jun 2009 jam 09.00 pagi (dalam tempoh 24 jam lepas), terdapat lima (5) kes Influenza A(H1N1) import baru, dan tiga (3) jangkitan tempatan dikesan; menjadikan jumlah keseluruhan kes Influenza A(H1N1) yang dikesan adalah sebanyak 58 kes iaitu 51 kes import dan 7 kes jangkitan tempatan. Kesemua 5 kes import dan 3 jangkitan tersebut adalah warganegara Malaysia. Lima (5) kes import adalah dari Australia (2), United kingdom (1), Manila (1) dan Phuket (1).
  1. 1. Kes ke 51 merupakan kanak-kanak perempuan warga Malaysia, berumur 3 tahun, yang telah bercuti ke Melbourne, Australia dari 12 hingga 19 Jun 2009 bersama kedua ibubapa. Mereka balik ke Malaysia pada 19 Jun 2009 dengan penerbangan MH148 (barisan tempat duduk 12), tiba di KLIA pada 19 Jun 2009 jam 8.30 malam tanpa sebarang simptom. Beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 20 Jun 2009 kerana mengalami demam dan disahkan positif pada 21 Jun 2009 sebagai kes import. Dengan ini penumpang yang menaiki penerbangan yang sama dan duduk di antara baris 9 hingga 15 diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat bagi mendapat nasihat kesihatan lebih lanjut.
  2. Kes ke 52, seorang lelaki warga Malaysia berumur 35 tahun merupakan seorang pramugara dengan Penerbangan Malaysia (MAS). Beliau merupakan petugas di dalam penerbangan MH 1 Delta dari London ke KLIA dan sampai pada 18 Jun 2009 jam 4.30 pagi dan telah mengalami simptom bermula pada 19 Jun 2009 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 20 Jun 2009 dan disahkan positif pada 21 Jun 2009 sebagai kes import.
  3. Kes ke 53, seorang perempuan warga Malaysia berumur 37 telah melancong ke Sydney, Australia bersama suami pada 4 hingga 16 Jun 2009. Beliau pulang melalui penerbangan MH 122 (tempat duduk 32A) tiba di KLIA 16 Jun 2009 jam 8.30 malam. Beliau mula sakit pada 19 Jun 2009 dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 20 Jun 2009. Beliau disahkan positif pada 21 Jun 2009 sebagai kes import. Dengan ini penumpang yang menaiki penerbangan yang sama dan duduk di antara baris 29 hingga 35 diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat bagi mendapat nasihat kesihatan lebih lanjut.
  4. Kes ke 54, seorang perempuan warga Malaysia berumur 25 tahun dan merupakan kontak kepada kes ke 48. Beliau mula mengalami demam dan batuk pada 19 Jun 2009 dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, pada 20 Jun 2009 dan disahkan positif pada 21 Jun 2009. Beliau merupakan kes jangkitan tempatan ke 5.
  5. Beliau mengalami demam dan batuk pada 19 Jun 2009 dan telaKes ke 55, seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 18 tahun juga merupakan kontak kepada kes ke 48h dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, pada 20 Jun 2009 dan disahkan positif pada 21 Jun 2009. Beliau merupakan kes jangkitan tempatan ke 6.
  6. Kes ke 56, seorang lelaki warganegara Malaysia yang merupakan ahli perniagaan. Beliau telah ke Manila pada 11 hingga 15 Jun 2009 dan pulang melalui penerbangan MH 705 (barisan tempat duduk 37) tiba di KLIA pada 15 Jun 2009 jam 4.50 petang. Beliau mula mengalami demam, batuk dan sakit tekak pada 16 Jun 2009 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 21 Jun 2009 dan disahkan positif pada hari yang sama. Dengan ini penumpang yang menaiki penerbangan yang sama dan duduk di antara baris 34 hingga 40 diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat bagi mendapat nasihat kesihatan lebih lanjut.
  7. Kes ke 57, seorang lelaki warganegara Malaysia. Beliau telah bercuti di Phuket, Thailand, bermula 16 – 21 Jun 2009 dan pulang melalui penerbangan Air Asia AK 837 (tempat duduk 12A) tiba di LCCT pada 21 Jun 2009. Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 21 Jun 2009 dan disahkan positif pada 21 Jun 2009. Dengan ini penumpang yang menaiki penerbangan yang sama dan duduk di antara baris 9 hingga 15 diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat bagi mendapat nasihat kesihatan lebih lanjut.
  8. Kes ke 58, seorang pelajar perempuan warganegara Malaysia berumur 11 tahun yang merupakan kontak kepada kes ke 43. Beliau adalah pelajar SRK Assunta 2 tetapi berlainan kelas dengan kes ke 43. Beliau telah mula mengalami demam, batuk dan sakit tekak mulai 21 Jun 2009, dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan disahkan positif pada 22 Jun 2009. Beliau merupakan kes jangkitan tempatan ke 7. Sehubungan dengan ini telah terdapat 2 kes positif di kalangan pelajar di sekolah tersebut dan pihak Kementerian sedang mengambil langkah yang sewajarnya.

Buat masa ini dua buah sekolah iaitu SRJK(C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur dan SRK Assunta 2, Petaling Jaya, telah ditutup bermula masing-masing pada 21 Jun 2009 dan 22 Jun 2009. Sementara itu bagi Seri Cempaka International School, Batu 9 Cheras, Selangor; SMK Seksyen 9 Shah Alam dan SMK Damansara Utama, Petaling Jaya dimana satu kelas sahaja telah diarah tutup di sekolah masing-masing bermula 22 Jun 2009. Semua penutupan ini dilaksanakan sehingga 26 Jun 2009. Manakala bagi SM Wangsa Maju, Kuala Lumpur, satu kelas juga diarah tutup sehingga 25 Jun 2009.

Sehubungan dengan ini, semua ibubapa kepada pelajar-pelajar sekolah yang dinyatakan di atas diminta untuk memastikan anak-anak mereka berada di rumah dan tidak pergi ke tempat tempat awam. Manakala ibubapa dan ahli keluarga kepada anak-anak yang diletak dibawah home qurantine boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa. Walau bagaimana pun ibubapa dan ahli keluarga kepada kes yang disahkan positif hendaklah menjalani home quarantine seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian. Kepada pelajar-pelajar dari sekolah terbabit sekiranya mengalami gejala demam dan tanda-tanda seperti batuk,sakit tekak dan selesema hendak segera mendapatkan rawatan di hospital.

Kementerian Kesihatan Malaysia sedang mengesan kesemua kontak termasuk krew penerbangan dan penumpang MH122 yang mendarat di KLIA pada 16 Jun 2009, MH1 Delta yang mendarat di KLIA pada 18 Jun 2009 jam 4.30 pagi, MH148 yang mendarat di KLIA pada 19 Jun 2009 jam 8.30 malam, MH705 yang mendarat di KLIA pada 15 Jun 2009 dan AK837 yang mendarat pada 21 Jun 2009. Manakala itu, bagi bagi pelajar-pelajar dan kakitangan sekolah yang terlibat, diminta untuk menghubungi pihak sekolah atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk mendapat nasihat kesihatan dengan lebih lanjut.

Buat masa ini, sejumlah 42 kes daripada 58 kes yang disahkan positif influenza A(H1N1) masih dalam rawatan di hospital iaitu Hospital Sungai Buloh (22), Hospital Kuala Lumpur (7), Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (3), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (4), Hospital Ipoh (1), Hospital Pulau Pinang (2), dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar (3). Kesemua diberikan rawatan antivirus dan dalam keadaan stabil.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sejumlah 80 notifikasi kes yang menunjukkan gejala jangkitan influenza diterima dari seluruh negara. Sehingga 21 Jun 2009 jam 9.00 malam, jumlah terkumpul kes yang disiasat kerana disyaki jangkitan influenza A(H1N1) adalah sebanyak 1,320 kes di mana, 58 kes disahkan positif influenza A(H1N1), 1,258 disahkan negatif dan 4 masih menunggu keputusan.

Pada 21 Jun 2009 sehingga jam 9.00 mlm, seramai 69 orang bagi kontak kes 16 dan kes 17 telah tamat home quarantine. Kontak yang masih diletakkan di bawah home quarantine kini adalah seramai 378 orang, ini termasuk 143 kontak baru yang dikesan. Kesemua mereka yang sedang menjalani kuarantin dalam keadaan stabil tanpa simptom jangkitan influenza.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 22 Jun 2009, jam 8 pagi, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 44,978 kes dengan 181 kematian daripada 96 negara, iaitu pertambahan 243 kes. Negara yang melaporkan pertambahan kes adalah Australia (53), China – Tanah Besar (58), Hong Kong (65), Korea (15), Malaysia (7), New Zealand (42) dan Vietnam (3).

Bagi mengesan kontak kepada kesemua kes positif, Kementerian Kesihatan meminta kepada penumpang, anak kapal dan kontak kepada kes terutama yang duduk di 3 barisan hadapan dan belakang serta pelajar dari sekolah-sekolah yang terbabit untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau KKM melalui talian 03-88810200 atau 03-88810300 untuk membolehkan kami memberikan nasihat kesihatan termasuk keperluan home quarantine.

Kepada pelajar Malaysia dan mereka yang baru kembali bercuti di luar negara yang terjejas dengan wabak influenza A(H1N1) adalah diminta untuk sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan. Mereka yang mula merasa kurang sihat atau ada tanda awal jangkitan seperti batuk dan demam hendaklah segera mendapatkan rawatan daripada doktor yang berdekatan dan mengurangkan pergaulan dengan rakan lain termasuk mengelakkan diri dari menghadiri kelas dan bekerja di pejabat. Langkah ini untuk mengelakkan penularan penyakit di sekolah dan di tempat kerja yang boleh melibatkan penularan jangkitan.

Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan perjalanan ke negara negara yang dilanda wabak kecuali jika betul-betul tidak dapat dielakkan. Perjalanan ke luar negara yang dilanda wabak boleh meningkatkan risiko mendapat jangkitan Influenza A(H1N1), samada semasa berada di negara berkenaan atau pun semasa berada di dalam pesawat. Ini bukan sahaja akan menyebabkan anda jatuh sakit dan terpaksa dirawat di negara lain, tetapi anda dan keluarga anda akan dikuarantin jika terbabit dengan kes yang disahkan positif. Justeru itu, orang ramai adalah digesa sekali lagi agar memberi kerjasama menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang dilanda wabak Influenza A(H1N1) buat masa ini, kecuali bagi perjalanan yang perlu sahaja yang tidak boleh ditangguhkan.

Orang ramai juga turut dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan situasi semasa penyakit ini dan mendapatkan maklumat yang terkini dan tepat dari Kementerian Kesihatan melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan pengumuman KKM melalui media dari semasa ke semasa.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD. ISMAIL MERICAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
DIRECTOR GEERAL OF HEALTH MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 12, Blok E7, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan,
62590 Putrajaya
Tel :603-88832545
Faks :603-88895542
E-mail:ismailmerican@moh.gov.my

Tarikh: 22 Jun 2009

Comments

Popular Posts