‘Datuk’ rekrut ahli baru - Harian Metro
GOMBAK: Selepas enam tahun hilang, seorang ‘Datuk’ yang pernah menggemparkan negara berikutan terbabit aktiviti menjual pangkat tentera mencecah RM25,000 kepada ahli persatuan sekali lagi ditahan polis semalam selepas didapati cuba menghidupkan semula kegiatan berkenaan.
Datuk berusia 41 tahun itu didakwa menjalankan penipuan dengan mengutip wang ribuan ringgit daripada orang ramai yang diperdaya menyertai pertubuhan Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) terbabit dengan berselindung di sebalik slogan ‘membanteras dan menentang musuh negara’.
Suspek yang pernah diberkas polis enam tahun lalu, turut mengejutkan orang ramai berikutan pernah mengisytiharkan dirinya perdana menteri keenam selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selain mendakwa memiliki kilang pemasangan komponen kenderaan mewah Mercedes.
Suspek yang hanya bersekolah setakat tingkatan lima turut mendakwa sebelum ini memiliki Ijazah doktor falsafah (PhD) dan pakar jurutera, tetapi semua gelaran itu rekaan semata-mata.
Semalam, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman melakukan serbuan di ibu pejabat pertubuhan berkenaan di Taman Gombak Jaya di sini, kira-kira jam 11.45 pagi.
Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner I Tajudin Md Isa, berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menjalankan pemantauan dan mendapati pejabat pertubuhan itu menjalankan aktiviti merekrut dan mengambil ahli baru secara haram bagi tujuan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 36 individu berusia 20 dan 40-an yang datang dari seluruh negara menjalani peperiksaan serta sesi temu duga di pejabat pertubuhan itu dan mereka ditahan untuk diambil keterangan lanjut.
“Kami turut menahan enam kakitangan termasuk dalang pertubuhan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Perdana, dekat sini, semalam.
Menurut Tajudin, selain dokumen seperti soalan peperiksaan dan sesi temu duga, polis turut merampas puluhan barangan dalam premis berkenaan untuk siasatan lanjut. “Ia termasuk resit bayaran yuran keahlian berserta wang tunai RM340, beberapa uniform serta topi, satu cota, 13 lambang PPKM dan gambar ketua pertubuhan itu yang dipamerkan di premis berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati rekrut baru PKMM diminta membayar RM180 untuk yuran keahlian atau kemasukan dan dijanjikan gaji RM1,900 sekiranya diterima menjadi ahli, namun mengikut pangkat masing-masing seolah-olah menyamai pasukan keselamatan negara.
“Antara kelayakan yang perlu untuk menjadi anggota PKMM adalah warganegara Malaysia berusia 18 hingga 60 tahun tidak kira lelaki atau perempuan dan bangsa, berkelulusan semua peringkat dari sekolah rendah hingga ijazah, tidak gila, buta atau pekak dan tidak mempunyai rekod jenayah.
“Bagaimanapun, kami akan menyiasat motif dan rancangan sebenar pertubuhan itu termasuk mengenal pasti jumlah sebenar ahli PKMM di seluruh negara,” katanya.
Berikutan itu, Tajudin meminta mereka yang terbabit pertubuhan itu supaya tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan.
Ketika diberkas jam 1 tengah hari semalam, suspek yang menggunakan gelaran Datuk berkenaan tampil ceria sambil melambai tangan ke arah wartawan dan jurugambar di bawah bangunan.
Suspek yang berpakaian kemas lengkap dengan jaket gelap dan topi baret sempat bersalaman sebelum dibawa pegawai polis menaiki kereta ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi siasatan lanjut.
Wartawan Harian Metro yang meninjau lokasi kejadian mendapati, pertubuhan terbabit seolah-olah mencabar polis apabila menampal salinan laporan polis yang mendakwa kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung PKPM melalui sebuah akhbar pada 26 Mei lalu adalah fitnah.
*sumber berita di petik dari www.hmetro.com.my
Comments
Post a Comment